Friday, 8 March 2013

10 Tips Bangun Awal pagi

Haa..para pelajar semua mesti mengalami masalah untuk bangun awal kan? di sini cikgu niza nak kongsi tips bangun awal dengan para pelajar semua..selamat mencuba ok! :)



Keheningan Subuh, ia mempunyai rahsia dan kekuatan yang tersendiri.

Berpagi-pagian di awal pagi merupakan amalan salafusoleh dan orang-orang mukmin sejak zaman berzaman. Malah, terdapat suatu rahsia serta kekuatan yang luar biasa bagi mereka-mereka yang membiasakan diri bangun awal di pagi hari.
Mereka adalah insan-insan yang terpilih yang bangun awal sebelum Subuh dan mereka melaksanakan solat Subuh setiap hari ikhlas kerana Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“ Dan dirikanlah pula solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh malaikat.”
(Surah al-Isra 17 : 78)
Namun, selalunya apa yang berlaku dalam realiti kita ialah – ia adalah suatu yang sangat-sangat sukar untuk bangun awal sebelum Subuh. Selimut yang seringan kapas itu terasa bebanannya seperti batu konkrit. Dan, ramai di kalangan kita terlepas kewajipan asasi di awal pagi iaitu solat Subuh kerana susah untuk bangun daripada tidur yang nyenyak.
Kali ini, saya kongsikan tips bagaimana untuk bangun awal sebelum Subuh. Tips ini bukanlah sekadar untuk dihebah-hebahkan atau diwar-warkan semata-mata, tetapi untuk digerakan, diamalkan dan dilaksanakan oleh kita semua.
  1. Niat sebelum tidur bahawa tidur ini adalah ibadah kerana Allah SWT. Setting diminda, bahawa kita ingin bangun awal keesokan harinya. Lebih baik sekiranya kita katakan secara terperinci tentang masa yang ingin kita bangun. Contoh : “ Esok saya akan bangun pada jam 5.30 pagi.”
  2. Biasakan diri berwudhuk sebelum melelapkan mata. Bayangkan inilah wudhuk kita yang terakhir. Kita memyempurnakan wudhuk dengan tertib, tenang dan sesempurna mungkin.
  3. Dirikan solat sunat dua rakaat sebelum tidur. Sebaiknya, solat sunat Taubat. Cantiknya, sebelum tidur kita memohon keampunan serta membersihkan diri daripada dosa-dosa dan kekotoran maksiat kita kepada Allah SWT.
  4. Gunakan alat  bantuan untuk membangkitkan kita daripada tidur. Mohon bantuan ibu bapa, adik-beradik atau kawan-kawan yang ada. Di samping itu, setkan jam loceng atau alarm telefon kita berhampiran dengan kita.
  5. Untuk bangun awal, kita perlulah tidur awal. Tidur yang secukupnya memudahkan kita untuk bangun dengan segar, ceria dan bertenaga.
  6. Bacakan doa sebelum tidur dan bacaan Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Anas.Hembuskan bacaan tadi ditapak tangan dan sapukan ke seluruh badan. Mohon perlindungan dan pemeliharaan daripada Allah SWT.
  7. Sambil berbaring sebelum terlelap, basahkan bibir dengan zikir memuji dan memuja Allah SWT. Alhamdulillah, Alhamdulilah, Alhamdulillah.
  8. Teruskan dan ulang berkali-kali tips ini jika gagal. Peringkat awal, ia seperti sukar. Lama kelamaan ia akan berputik di hati. Kita akan biasa dengan amalan ini jika ia dilakukan terus-menerus tanpa putus asa.
  9. Jika berjaya, syabas saya ucapkan. Sekarang cabarannya ialah untuk mengekalkan amalan ini dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Jadi bagaimana?
  10. Perbanyakanlah berdoa, bermunajat dan merintih kepada Allah SWT agar kita sama-sama istiqamah dan konsisten dengan amalan bangun awal ini. Hasrat dan harapan kita hanya satu agar Allah SWT sayang dan redha kepada kita.
Justeru, bilakah kita akan mulakan tips ini?
Saranan saya, kita lakukan segera tanpa bertangguh. Esok pagi, adalah pagi yang terbaik untuk kita. Kerana apa? Kita mampu bangun awal sebelum Subuh, bersiap siaga untuk solat Subuh berjemaah, menghiasinya dengan bacaan Al-Quran, berdoa, berzikir dan terus berfikir untuk masa hadapan kita di akhirat.
Berjuang bersungguh-sungguh untuk bangun awal sebelum Subuh.

Aktiviti memanaskan badan sebelum bersukan

Regangan badan penting supaya otot berfungsi dengan baik, elak kecederaan 

PAKAR kenderaan sering menasihat pemandu supaya memanaskan enjin terlebih dulu sebelum memulakan perjalanan, terutama pada waktu pagi.

Apakah tujuan membiarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit sebelum digerakkan? Ketika proses pemanasan, minyak pelincir akan dialirkan ke semua bahagian enjin. Jika enjin terus dibebani sebelum dipanaskan, ini bermakna enjin terpaksa bekerja ketika minyak belum sampai ke setiap bahagian yang perlu dilinciri.

Akibatnya, bahagian yang bergeseran akan mengalami kehausan akibat geselan berat hingga enjin lebih cepat rosak.

Apakah kaitan memanaskan enjin dengan senaman? Tubuh manusia sama seperti enjin. Jika enjin menerima kesan buruk akibat kegagalan pemandu memanaskan enjin, tubuh manusia juga berkeadaan serupa.

Sesetengah orang bersenam untuk lebih sihat, tetapi selepas sekali atau dua kali melakukan senaman terus patah semangat untuk bersenam kerana bukan kesihatan bertambah baik, tetapi mengadu bahagian tertentu tubuh seperti kaki terseliuh dan sakit.



Video di bawah menunjukkan cara regangan otot yang betul sebelum bersukan.





Masalah yang dialami Itu menunjukkan tubuh manusia perlu melalui proses sama seperti enjin kenderaan, memanaskan badan sebelum bersenam.

Memanaskan badan penting supaya otot dapat bertugas dengan berkesan, sekali gus mengelakkan kecederaan.

Sehubungan itu, tubuh memerlukan persediaan rapi dan tepat untuk melakukan senaman yang memerlukan tenaga dan kekuatan supaya senaman memberi pulangan positif dan pada masa sama, meminimumkan risiko kecederaan.

Bersenam tanpa memanaskan badan bererti sengaja mendedahkan diri kepada pelbagai kesakitan dan kecederaan.

Sesetengah orang mengetahui keperluan memanaskan badan, tetapi mempunyai anggapan salah bahawa sesiapa yang mempunyai keadaan fizikal yang baik tidak perlu berbuat demikian. Hakikatnya, setiap orang berisiko mendapat kecederaan apabila memaksa tubuh melakukan senaman.

Berhenti dengan tiba-tiba selepas bersungguh-sungguh melakukan senaman tanpa melegakan otot kembali seperti dalam keadaan rehat, juga boleh menyebabkan kesakitan seperti yang dialami orang yang tidak cergas, tetapi memaksa diri bersenam secara intensif.

Ketegangan otot yang dialami ketika bersenam kemungkinan besar berpunca akibat bersenam tanpa memanaskan badan sepenuhnya.

Kebaikan memanaskan badan

FAKTOR utama memanaskan badan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan pelbagai gerakan.

Latihan memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.

Bagaimanapun, pastikan senaman dilakukan segera selepas aktiviti memanaskan badan. Jika melewati tempoh 10 minit, badan akan kembali sejuk dan usaha memanaskan badan akan menjadi sia-sia.

Selain mencegah kecederaan, tubuh berasa lebih bersedia untuk melakukan senaman. Dari segi psikologi, seseorang itu akan lebih bersedia untuk menghadapi aktiviti sukan, terutama pertandingan peringkat tinggi.

Kebaikan menyejukkan badan
SAMA seperti kesan buruk yang dialami apabila tidak memanaskan badan, berhenti secara tiba-tiba selepas melakukan senaman juga merbahaya.

Ambil sedikit masa untuk menyejukkan otot secara teratur untuk mengelakkan kekejangan dan mengurangkan kesakitan otot.

Menyejukkan badan menyebabkan rerambut otot menutup dan menghalang darah `berkumpul' yang boleh membawa kepada penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.

Selepas melakukan senaman dengan lasak, anda perlu secara beransur-ansur mengurangkan tahap keseriusan senaman dengan berjoging atau berjalan secara perlahan. Kemudian lakukan semula regangan dan melonggarkan tubuh seperti sebelum bersenam.

Apabila semua ini dilakukan, anda dengan yakin boleh berhenti bersenam kerana melakukan usaha terbaik untuk melindungi tubuh anda.

INFO: Teknik memanaskan badan
PASTIKAN aktiviti memanaskan badan dilakukan mengikut teknik yang betul. Tempoh masa yang sesuai sekurang-kurangnya 10 minit. Kaedah lain yang digunakan ialah urutan kerana meningkatkan pengaliran darah melalui otot, tetapi mesti diikuti regangan otot.

Regangan betis

Berdiri dengan sebelah kaki berada di depan. Secara perlahan-lahan pindahkan berat badan kepada kaki depan. Ini menyebabkan otot betis diregang ke arah belakang. Kekalkan kedudukan itu kira-kira lima minit.

Kepantasan

Aktiviti berbentuk kepantasan seperti berjalan pantas dan joging perlahan meningkatkan pengaliran darah ke tisu dan otot.

Regangan bahu dan dada

Kedua-dua belah tangan di bahagian belakang dalam keadaan seperti bersalam. Tangan kemudian digerakkan ke atas dan kekalkan keadaan itu selama lima minit.

Melonggarkan bahagian atas tubuh

Gerakkan kedua belah tangan dari bahagian atas secara berperingkat-peringkat hingga ke bawah.

Teknik menyejukkan badan

BERSENAM tidak berakhir begitu saja. Jika memanaskan badan adalah penting, menyejukkan badan selepas bersenam tidak boleh diabaikan.

Tempoh beberapa minit selepas bersenam perlu digunakan untuk menyejukkan badan, iaitu dengan cara berjalan perlahan dan melakukan teknik sama seperti memanaskan badan.

Menyejukkan badan memastikan darah mengalir melalui otot dan sebarang asid laktik yang terbentuk dalam sel otot boleh disebarkan melalui pengaliran darah ke hati. Jika berhenti bersenam secara mengejut, asid laktik yang ditinggalkan di belakang otot boleh menyebabkan kekejangan.

Penyejukan

Gunakan teknik sama seperti memanaskan badan. Untuk melakukan regangan terhadap otot tendon atau urat di belakang lutut, bengkokkan kaki kanan dan angkatkan ke atas. Regangan di tendon boleh dirasai apabila teknik ini dilakukan. Kekalkan kedudukan dengan mengira satu hingga lima. Ulangi teknik ini dengan menggunakan kaki kiri pula.

Memperlahankan kepantasan

Berjalan atau berjoging dengan perlahan selama beberapa minit memastikan darah bergerak memasuki otot untuk menyingkirkan asid laktik.

Menurun

Bagi menyejukkan otot belakang tubuh dan paha, berdiri tegak dan kemudian turunkan tubuh hingga kedudukan mencangkung tanpa menggunakan tangan. Ulangi pergerakan ini sebanyak lima kali.

Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2008/01/panaskan-badan-sebelum-bersenam.html#ixzz2MwEN2c20